Labels

Thursday, December 8, 2016

Definisi kerja dan kerjaya





KERJA bermaksud melakukan sesuatu secara sukarela, melalui arahan, cara paksaan dan mempunyai masa kerja yang tetap atau ditentukan seperti 1 jam, 2 jam, 4 jam, 8 jam atau 12 jam. Kerja mengikut istilah umum bermakna membuat atau melakukan sesuatu bagi mendapatkan hasil, upah, ganjaran, berpendapatan tetap.

KERJAYA bermaksud kerja yang disukai, diminati dan dibuat sepenuh hati tanpa paksaan. Amat sesuai bagi individu yang berpandangan jauh dan bervisi. Mempunyai peluang luas dalam aspek peningkatan diri ke arah lebih profesional, berdaya maju dan mampu memberi hasil pulangan yang lumayan. Masa kerjanya 24 jam sehari namun bebas, santai dan tidak mengekang dan tidak pula mengkesampingkan disiplin diri bagi tujuan mengemudi hala tuju yang teratur dan lancar.

Menurut Hall (1976) kerjaya adalah kerja yang berterusan / kesinambungan berkaitan dengan pengalaman dan sikap yang berlaku dalam kehidupan individu.

 Juhairy Haji Ali (2000) menyatakan bahawa kerjaya juga boleh didefinisikan sebagai persepsi seseorang individu, satu sikap dan tingkahlaku individu yang berkaitan dengan aktiviti kerja serta pengalaman dalam kehidupan individu.

Mohd Fadzil Che’ Din (2001)  menegaskan bahawa kerjaya adalah kerja atau aktiviti-aktiviti untuk memenuhi keperluan-keperluan psikologikal, ekonomikal dan sosioligikal individu dan ini direalisasikan dengan bekerja hingga berjaya.
           
Perkembangan kerjaya adalah satu proses yang formal, tersusun serta suatu usaha yang dirancang untuk mencapai keseimbangan antara keperluan kerjaya dan kehendak tenaga kerja. Ia juga merupakan satu mekanisme bagi memenuhi keperluan sumber manusia dalam suatu organisasi untuk masa kini dan masa datang.
            Dalam pemilihan kerjaya , Ginzberg menyatakan tentang 3 teori yang menggerakkan seseorang ke arah kerjaya yang menjadi pilihan sama ada kekal atau sementara dalam hidupnya.

a) Accidential theory – di mana individu secara tidak sengaja atau sengaja menceburi kerjaya tersebut akibat dari sesuatu peristiwa, desakan, pengaruh atau kebetulan.

b) Impulse theory – atas rasa hati atau emosi terhadap kerjaya yang dilihat, dibaca, diselidik atau dialami oleh individu lain yang signifikan dengannya.

c) Bimbingan vokasional – hasil dari maklumat-maklumat kerjaya dari bahan-bahan sebaran, baucer, handouts dan lain-lain atau kaunselor kaunseling kerjaya.
         
    Proses membuat keputusan adalah kompleks dan unik kepada setiap individu, bergantung kepada faktor kognitif dan struktur sosial individu. Dalam pada itu, individu menilai pemilihan mereka dengan menimbang nilai-nilai, minat, pencapaian dan pengalaman serta secara luarannya mendapatkan penerimaan dan perakuan dalam persekitaran pekerjaan. (Mohamed Fadzil Che Din dan Rashidah Dato’ Haji Omar, 2002).

Kaunseling kerjaya



Jom, Saksikan video yang telah disediakn!

Monday, December 5, 2016

TEORI KERJAYA HOLLAND

TEORI HOLLAND



1.0  LATAR BELAKANG TOKOH
Teori ini telah diasaskan oleh John Lewis Holland. Beliau telah dilahirkan pada 21 Oktober 1919 di Omaha, Nebraska. Bapa Holland pada awalnya merupakan seorang buruh dan kemudiannya telah menukar kerjaya sebagai seorang eksekutif pengiklanan. Ibu Holland pula merupakan seorang guru sekolah rendah.  John Lewis Holland merupakan seorang professor emeritus sosiologi di universiti johns hopskin . Holland merupakan anak kedua daripada empat adik- beradik. Beliau telah menceburkan diri dlm bidang muzik sejak berumur 12 tahun sehingga umurnya  22 tahun kemudian beliau beralih pula ke dalam bidang psikologi.
Holland  mempunyai ijazah doktor falsafah dan berkecimpung dalam pengajaran dan penyelidikan di universiti. Melalui penyelidikan yang telah dibuat, Holland berjaya menghasilkan teori Holland dan beliau telah menulis tentang teorinya dlm beberapa buah buku seperti “The Career Attitudes and Strategies Inventory (1994, with Gottfredson), The Position Classification Inventory (1991, with Gottfredson), The Dictionary of Holland Occupational Codes (1982, 1989 & 1996, with Gottfredson), Making Vocational Choices: A Theory of Careers (1973, 1985 & 1997), The Self Directed Search (1970, 1977, 1985 & 1994), The Psychology of Vocational Choice (1966)”. Beliau juga berjaya menghasilkan alat penilaian vokasional berdasarkan teori beliau.
Sepanjang penglibatan Holland, belaiu pernah diberi anugerah atas kecermelangan tugasnya oleh American Psychological Association (APA). Antara pencapaian terbesar Holland ialah beliau telah mendapat anugerah :  American Psychological Association's Award: Distinguished Professional Contributions to Knowledge (1994), American Counseling Association: Extended Research Award (1995) dan juga American Psychological Association: Award for Distinguished Scientific Applications of Psychology (2008).
Holland telah  menyertai Jabatan Sosiologi Johns Hopkins Universiti pada tahun 1969, di mana beliau menerbitkan beberapa kajian beliau yang sangat penting berkaitan dengan  personaliti dan pemilihan kerjaya Beliau telah bersara dari Johns Hopkins pada tahun 1980, tetapi beliau masih  meneruskan terus kajian berkaitan kerjaya sehinggalah beliau meninggal dunia pada 27 November 2008 ketika beliau berusia 89 tahun.

2.0 PENGENALAN TEORI HOLLAND
Teori Pemilihan Kerjaya Holland diperkenalkan pada tahun 1959 dan telah dikemaskini pada tahun 1966, 1973, 1978,1985 dan 1996. Teori Holland dikenali sebagai teori pemilihan kerjaya Holland iaitu sempena namanya & juga turut dikenali sebai teori Tipologi Holland. Teori Pemilihan Kerjaya Holland merupakan hasil kajian Holland terhadap personaliti yang memfokus kepada tipologi dan banyak dipengaruhi oleh Tret dan Faktor. Teori ini dibentuk berasaskan andaian bahawa minat vokasional adalah satu daripada aspek personaliti dan oleh yang demikian deskripsi tentang minat individu juga menggambarkan personaliti seseorang. Tret-tret personaliti biasanya dikenal pasti melalui kecenderungan terhadap matapelajaran sekolah, aktiviti-aktiviti rekreasi, hobi dan kerja, sementara minat vokasional boleh digambarkan sebagai ekspresi personaliti (dalam Sidek Mohd Noah, 2002).
Fokus utama pemilihan Kerjaya Holland  adalah untuk menjelaskan tingkahlaku vokasional sertamencadangkan beberapa idea praktikal untuk menolong individu memilih kerja, menukar kerja serta memperoleh kepuasan bekerja (Holland1996). Teori ini juga turut membincangkan  perkembangan jenis personaliti, perubahan personaliti, kebolehan personal, tingkahlaku kerjaya, tingkahlaku pendidikan dan tingkahlaku sosial.
Pemilihan kerjaya merupakan satu penglahiran perakuan yang mencerminkan motivasi, pengetahuan, personaliti, dan kebolehan seseorang. Pekerjaan menggambarkan cara hidup dan persekitaran , bukan semata-mata satu set fungsi kerja atau kemahiran yang berasingan. Dalam hal ini kecenderungan dalam sesuatu kerjasebenarnya menggambarkan beberpa keterangan iaitu motivasi dan pengetahuan individu tentang pekerjan yang dipersoalkan, wawasan dan kefahaman tentang diri serta kemampuannya.
Teori Holland telah mengkategorikan individu kepada salah satu daripada enam kategori yang diberikan oleh Holland berdasarkan pengamatannya terhadap budaya masyarakat Amerika. Enam personaliti tersebut ialah Realistik (R), Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Conventional (C). Setiap jenis personaliti terbentuk hasil daripada interaksi antara pelbagai desakan kebudayaan dan personal termasuklah rakan sebaya, pewarisan biologi, keluarga, kelas sosial, budaya dan persekitaran fizikal daripada interaksi antara individu dengan faktor-faktor ini, individu akan menyukai aktiviti-aktiviti tertentu dan tidak kepada aktiviti-aktiviti yang lain.
Berdasarkan kepada enam kategori individu tersebut, Holland (Zunker, 1994, Osipow, 1973, Sidek Mohd Noah, 2002) telah mencadangkan enam personaliti individu yang boleh dipadankan dengan beberapa jenis personaliti iaitu:
        i.            Realistik: sesuai dengan kerja-kerja berat yang memerlukan kemahiran dan masculinity. Individu realistik biasanya akan memilih kerjaya yang akan membenarkan mereka mengekspresi segala ciri yang dimiliki oleh mereka. Kerjaya yang mereka pilih adalah seperti mekanik, juruteknik, tukang kayu dan lain-lain. Ciri-ciri yang dimiliki mereka ialah tidak sosial, akur, jujur, tulen, keras kepala, materialistic, keras hati, tidak menyendiri dan lain-lain.

      ii.            Investigatif: sesuai dengan pekerjaan yang lebih memerlukan pemikiran dari perbuatan seperti ahli kimia, doktor dan lain-lain. Individu investigative mempunyai ciri-ciri analitikal, berhati-hati, kritikal, kompleks, ingin tahu, rasional, menyisih diri, pendiam dan lain-lain.

    iii.            Artistik: artis, sama ada dalam bidang muzik atau seni. Individu artistic menyukai aktiviti-aktiviti yang kabur, bebas dan tidak sistematik yang memerlukan mereka memanipulasi bahan-bahan dan perkataan, disamping menghindari aktiviti-aktiviti yang eksplisit, sistematik dan berperaturan. Ciri-ciri yang mereka miliki ialah rumit, tunggang tebalik, emosional, ekspresif, idealistic, imaginatif, bebas, intuitif dan lain-lain.

    iv.            Sosial: individu sosial akan memilih aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan memanipulasi orang lain seperti memberitahu, melatih, mendidik, memperkembang dan mengubati disamping menghindari aktiviti-aktiviti eksplisit, berstruktur dan aktiviti yang melibatkan bahan, peralatan dan mesin. Mereka mempunyai ciri-ciri seperti berpengaruh, berkerjasama, sabar, peramah, pemurah, suka menolong, idealistic, empati, baik hati dan lain-lain. Mereka meminati kerjaya seperti pendidik, ahli psikologi, pegawai kebajikan dan kaunselor.

      v.            Enterprising: individu enterprising menyukai aktiviti-aktiviti memanipulasi orang lain seperti mengarah, membujuk dan memimpin untuk mencapai matlamat organisasi dan keuntungan ekonomi disamping menghindari aktiviti-aktiviti pemerhatian, simbolik dan sistematik. Mereka mempunyai ciri-ciri seperti sukakan pencapaian, suka mengembara, mudah bersetuju, bercita-cita tinggi, angkuh, bertenaga, suka menunjuk, menggembirakan.

    vi.            Konventional: individu conventional memiliki minat, kecekapan, persepsi diri dan mempunyai ciri-ciri seperti berhati-hati, akur, teliti, defensif, cekap, sukar dilentur, memendam rasa, tabah hati, praktikal, cermat dan lain-lain.
 Teori Holland telah memberi sumbangan dan telah diaplikasikan dengan meluas dalam pelbagai bidang seperti membantu dalam pemilihan kerjaya, penyelidikan dalam sains sosial, pendidikan, perniagaan dan perindustrian. Alat-alat ukuran untuk mengukur jenis personaliti serta aspek-aspek lain telah dirangka dan diperkenalkan seperti Vocational Preference Inventory (VPI), Self-Directed Search (SDS), Vocational Exploration and Insight Kit (VEIK) dan My Vocational Situation Inventory (MVS) (Sidek Mohd Noah, 2002).







3.0  ANDAIAN ASAS TEORI HOLLAND
Teori Pemilihan Kerjaya Holland yang juga dikenali sebagai teori Tipologi Holland mengandungi beberapa idea mudah. Terdapat empat andaian asas yang menjadi nadi dan teras kepada teori ini (Holland, 1996) iaitu:
1)      Dalam budaya Amerika, kebanyakan individu boleh dikategorikan kepada satu daripada enam jenis personaliti iaitu Realistik (R), Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Convensional (C). Menurut Holland, setiap jenis peronaliti ini terbentuk hasil daripada interaksi antara desakan pelbagai budaya dan personal termasuklah rakan sebaya, pewarisan biologi, keluarga, kelas social, budaya dan persekitaran fizikal. Hasil daripada interaksi antara individu dengan faktor-faktor ini, individu akan menyukai aktiviti- aktiviti tertentu dan tidak kepada aktiviti-aktiviti yang lain. Seterusnya, aktiviti ini akan kian diminati dan minat ini mendorong kepada pembentukan kumpulan kecekapan tertentu. Akhirnya, minat dan kecekapan tertentu tersebut akan membentuk sesuatu sifat tertentu individu yang mengarahkannya utnuk berfikir, membuat tanggapan dan bertingkahlaku dengan cara tertentu.

2)      Terdapat enam jenis persekitran, iaitu Realistik (R), Investigatif (I), Artistik (A), Sosial (S), Enterprising (E) dan Convensional (C). Menurut Holland, setiap persekitran ini akan dikuasai atau didominasi oleh personaliti tertentu dan setiap persekitaran itu akan dijeniskan oleh keadaan fizikal yang menghasilkan masalah-masalah dan peluang-peluang tertentu. Misalnya, persekitarn Realisitik akan didominasikan oleh individu jenis Realistik, iaitu sebahagian besar peratusan populasi yang tinggal dalam persekitaran Realistik adalah menyerupai jenis Realistik. Persekitaran Conventional pula akan dikuasai oleh individu jenis Conventional.

3)      Individu akan mencari perekitaran-persekitaran yang memberikan mereka peluang mengamalkan kemahiran-kemahiran dan kemampuannya, melahirkan sikap dan nilai-nilainya dan mengambil segala permasalahan dan peranan yang dipersetujui yang wujud dalam persekitaran tersebut. Sebagai contoh, individu Realistik akan mencari persekitaran Realistik, individu Sosial akan mencari persekitaran Sosial, begitu juga dengan jenis personaliti lain.

4)      Tingkahlaku individu ditentukan oleh interaksi antara personaliti dengan persekitaran. Menurut Holland sekiranya kita mengetahui pola personaliti individu dan pola persekitaranya secara prinsipnya, dengan menggunakan pengetahuan tentang jenis personality dan model persekitaran, kita boleh meramalkan beberapa perkara yang mungkin terjadi hasil daripada padanan tersebut. Ini termasuklah pemilihan kerjaya, pertukaran kerjaya, pencapaian vokasional, kecekapan personal, tingkahlaku pendidikan serta social.


4.0  PRINSIP ASAS TEORI
Prinsip asas teori Holland (1985) telah menyenaraikan sebanyak enam prinsip asas yang merupakan intipati kepada Teori Keselarasan Individu- Persekitaran Holland anataranya ialah :

1)      Pemilihan kerjaya seseorang individu ialah ekspresi personalitinya dan salah satu ekspresi personaliti adalah minat kerjaya.
2)      Inventori minat ialah inventori personaliti. Jika minat kerjaya merupakan ekspresi personaliti, oleh itu inventori minat ialah inventori personaliti.
3)      Setiap indivividu mempunyai stereotaip tersendiri berhubung dengan dunia pekerjaan. Stereotaip tentang sesuatu kerjaya mempunyai makna psikologikal dan sosialogikal yang penting dan boleh dipercayai. Hal inilah yang akan mempengaruhi individu dalam membuat keputusan yang berkaitan dengan pemilihan kerjaya. Sebagai contoh, jika seseorang itu mementingkan aspek kewangan sudah tentu individu tersebut akan menceburi bidang yang menawarkan pembayaran gaji yang tinggi.
4)      Ahli- ahli dalam sesuatu bidang pekerjaan mempunyai personaliti serta sejarah perkembangan peribadi yang serupa.  Jika seseorng itu memasuki bidang pekerjaan kerana latar belakang sejarah hidup dan personaliti tertentu maka bidnag kerjaya yang sama akan menarik individu lain yang mempunyai latar belakang sejarah hidup dan personaliti yang sama.
5)      Memandangkan individu dalam kumpulan kerjaya yang sama mempunyai personaliti yang sama, maka mereka akan bertindak balas dengan cara yang sama apabila menghadapi situasi dna masalah, di samping membentuk satu persekitaran interpersonal yang tripikal.
6)      Kepuasan kerja, kestabilan, dan pencapaian adalah bergantung kepada darjah keselarasan antara jenis personaliti dengan persekitaran kerja. Persekitraan kerja pula merujuk kepada rakan-rakan sekerja.



5.0 JENIS PERSONALITI DAN PERSEKITARAN KERJA
Jenis-jenis personaliti dan persekitaran kerja yang dikemukakan oleh Holland adalah Realistik (R) , Investigatif (I) , Artistik (A), sosial (S), Enterprising (E) , dan Conventional (C). Huraiannya adalah seperti berikut:          
1)      REALISTIK
·         Individu jenis realistik meminati dan memilih aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan memanupulasikan secara sistematik terhadap objek, mesin, peralatan, binatang dan tumbuhan. Disamping itu, mempunyai kecenderungan untuk menghindari aktiviti pendidikan dan teraputik. Kecenderungan itu telah mendorong kepada pembentukan kecekapan manual, mekanikal, pertanian, elektrikal dan teknikal. Individu jeni realistic selalunya bersikap introvert dan kurang mahir dalam berkomunikasi. Individu realistic akan mempamerkan ciri-ciri dan tingkah laku eperti meminati pekerjaan atau situasi realistic, menggunakan kecekapan realistic dalam menyelesaikan masalah masalah yang wujud sama ada di tempat kerja atau situasi lain dan mempersepsi diri sebagai memiliki kebolehan dalam bidang mekanikal dan kesukaan.
·         Selain itu, memberi nilaian yang tinggi terhadap benda-benda konkrit atau ciri-ciri personal yang dapat dilhat dengan jelas seperti wang dan kuasa. Selain itu, mempunyai cara kehidupan seperti mempunyai emosi yang stabil, tidak bersosial, agresif dan mempunyai sifat kelelakian. Persekitaran pekerjaannya yang sesuai adalah seperti seorang yang suka bekerja dengan benda daripada bekerja dengan manusia. Antara pekerjaan nya adalah sebagai buruh mahir, mekanikal, petani pemandu kenderaan dan pekerjaan lain yang berkaitan.

2)      INVESTIGATIF
·         Individu ini meminati dan memilih aktiviti yang berkaitan dengan membuat penyiasatan secara pemerhatian, simbolik, sistematik, dan kreatif terhadap beberapa fizikal, biological dan kebudayaan. Individu ini juga menganggap diri mereka sebagai orang yang berpengatahuan atau berpendidikan tinggi, yakin diri dari segi intelek, mempunyai kebolehan matematik dan saintifik tetapi lemah dalam kebolehan memimpin.
·         Mereka mempamerkan diri sebagai analitikal, berwaspada, kritikal, mempunyai perasaan ingin tahu yang tinggi, berdikari, intelektual, sentiasa menyelidik perasaan dan pemikiran sendiri, lebih suka memusatkan rasional, pendiam, kurang popular, pemalu, radikal dan mahukan pencapaian atau kejayaan. Cara kehidupan atau ciri-ciri individu ini adalah suka membaca, bersifat bebas dan suka menyelidik. Antara persekitran pekerjaan adalah yang berjenis penyelidikan atau saintifik seperti ahli antropologi, matematik, biologi, pengaturcara program, pekerja elektronik dan pensyarah yang berkaitan.

3)      ARTISTIK
·         Individu ini pula, sukakan aktiviti yang bercorak bebas, tidak bersistematik dan suka kepada perkara-perkara yang tidak jelas dan kabur. Mereka dapat menghasilkan produk seni hasil dari penggunaan lisan, fizikal dan manusia. Biasanya mereka tidak sukakan aktivti yang bersistematik, berstuktur atau terlalu jelas. Perlakuan ini mempengaruhi mereka untuk memperoleh kecekapan artistic seperti bahasa, seni, muzik, drama, penulisan, dan aktiviti dalam bidang seni. Mereka lemah dalam system pengurusan, perkeranian dan perniagaan.
·         Kecekapan kecenderungan, nilai dan tanggapan tentang diri mereka ini menyebabkan mereka mempamerkan  ciri-ciri orang yang sukar difahami, tidak terurus, emosional, sifat feminine, terlalu idealistic, imaginative, tidak praktikal, bertindak mengikut dorongan hati, bebas, intutif, tidak terikat kepada sesuatu dasar yang tetap, bersifat keaslian, menyatakan sesuatu yang bermakna (ekspresif), introvert, tidak mengikut kelaziman, sensitive dan selalunya bimbang atau cemas. Individu ini seorang yang kreatif, seorang yang sensitif, sedia mengarah, beremosi, berjiwa kewanitaan, suka berseorangan dan lain-lain lagi. Antara persekitaran pekerjaannya adalah pelukis, pengukir, guru muzik, penulis, penyair, pengkritik dan yang berkaitan lagi dengan individu artistik ini.

4)      SOSIAL
·         Individu yang suka berurusan dengan orang lain, melibatkan diri dalam aktiviti memberitahu, melatih, membentuk, merawat, menyedarkan orang lain, memberi nasihat, tunjuk ajar, bimbingan, kaunseling dan sebagainya. Individu social ini tidak suka kepada aktiviti yang melibatkan bahan bahan, peralatan, mesin dan aktiviti yang terlalu teratur dan bersistematik atau yang mempunyai peraturan yang nyata atau jelas.
·         Mereka adalah orang yang peramah, murah hati, feminine, bekerjasama, suka menolong, idealistic, celik akal, baik hati, petah bercakap, bertanggungjawab, social, bijaksana, sifat memahami, lurus, jujur, bergantung kepada orang lain, bersemangat, mengembara atau mengambil risiko, konservatif dan mengamalkan agama. Cara kehidupannya adalah hidup dalam kegembiraan, bercita-cita tinggi, mengambil berat tentang kebajikan dan masalah masyarakat serta minat aktiviti penyelidikan. Persekitran pekerjaannya adalah seperti guru, kaunselor, terapi, professor, pegawai kebajikan masyarakat, sosiologi, jururawat professional dan yang berkaitan.

5)      ENTERPRISING
·         Individu ini suka terlibat dalam aktiviti yang menggunakan orang lain untuk mencapai matlamat organisasi mahupun matlamat ekonomi. Mereka tidak gemar pengamatan, simbolik atau aktiviti bersistematik. Perlakuan ini mendorong mereka untuk mendapatkan kecekapan kepimpinan, perhubungan dengan orang lain dan petah bercakap untuk meyakinkan dan memujuk tetapi mereka lemah dalam kecekapan sainstifik. Mereka sering menonjol sebagai orang yang suka mengembara, mengambil risiko, bercita-cita tinggi, gemar berbincang atau berbahas, bergantung kepada orang lain, ingin menguasai orang lain, bertenaga, suka menonjolkan diri, melayan orang lain kerana mencari keseronokan, impulsive, optimistic, suka bersosial, banyak bercakap, sentiasa mencari kepuasan atau keseronokan, berkuasa atau berpengaruh, bersemangat, pemimpin yang baik, popular, petah bercakap dan pandai memujuk orang lain serta agresif.
·         Individu ini pandai memujuk, bijak berbicara, agresif, berkeyakinan, suka menunjuk-nunjuk, mengembara dan bersifat pemimpin. Antara persekitaran pekerjaan yang sesuai adalah pegawai bank, eksekutif, ahli perniagaan, pengurus pentadbir, pemaju perumahan, penjualan harta dan sebagainya lagi.




6)      KONVENSIONAL
·         Mereka sukakan aktiviti yang bercorak teratur, kerja yang bersistematik seperti menyusun data, menyimpan rekod, membuat system fail, pengeluaran bahan dan menyusun maklumat. Mereka juga lebih suka mematuhi peraturan, menurut arahan tetap, bersungguh-sungguh serta teliti, defensive, cekap, tidak fleksibel, taat, perintah, kemas serta terurus, berpendirian teguh, terlalu pentingkan sopan santun, tidak imaginatif, tidak berdikari, menghargai kerja keras untuk kejayaan perniagaan dan kewangan.
·         Cara kehidupan seperti berminat dengan cara penyelesaian sesuatu yag stereotaip, kelihatan kemas, boleh mengawal diri, hidup berdisiplin, berpraktikal dan suka atau pandai bersosial. Antara jenis persekitaran pekerjaan yang sesuai adalah kerja-kerja perkeranian, perniagaan, penjaga fail, akauntan, setiausaha, pengurus pinjaman dan pelbagai lagi.

6.0  ANDAIAN SEKUNDER
1)      KESELARASAN (CONGRUENCE)
Istilah keselarasan merujuk kepada hubungan antara personaliti dengan persekitaran. Persamaan yang semakin hampir antara personaliti dengan persekitaran, akan menjadikan ia lebih selaras. Sebagai contohnya, jenis investigative akan lebih terarah kepada persekitaran investigative. Seseorang yang cenderung kepada bidang investigative bekerja dalam persekitaran artistic akan menyebabkan keadaan menjadi tidak selaras. Menggunakan kod tiga mata Holland, personaliti SRA akan menjadi lebih selaras dengan persekitaran SRA dan kurang keselarasan dengan persekitaran SRC.
Satu keadaan yang selaras di antara personaliti diri dengan persekitaran kerjaya. Semakin hampir seseorang itu menyerupai sesuatu jenis personaliti, semakin besar keberangkalian ia akan menunjukkan tingkah laku dan ciri-ciri yang berkaitan dengan jenis tersebut. Individu yang menceburi dalam sesuatu bidang pekerjaan mempunyai pola personaliti yang sama atau hampir sama dengan persekitaran pekerjaan yang dialaminya Contohnya,  personaliti jenis sosial, lebih kepada persekitaran yang lebih terarah kepada interaksi sosial, peka terhadap masalah sosial dan berminat dalam aktiviti pendidikan.  
Umumnya, darjah keselarasan ini dapat meramalkan tingkah laku individu dalam hal pemilihan pekerjaan. Huruf pertama dalam kod tiga-mata Holland menerangkan jenis personaliti yang paling dominan serta bidang umum atau bidang major yang sesuai dengan label jenis personality tersebut. Huruf yang kedua dan ketiga pula akan menerangkan aspek-aspek yang terlebih khusus dalam bidang umum tersebut iaitu bidang minor. Tegasnya, pola pesonaliti seseorang individu yang dinyatakan dalam bentuk kod tiga-mata Holland dapat meramalkan perlakuan vokasionalnya dengan lebih tepat.
2)      KONSISTENSI (CONSISTENCY)
Hubungan  sesetengah pasangan personaliti dan persekitaran adalah lebih kuat berbanding pasangan personaliti/persekitaran yang lain. Hubungan di antara personaliti dan persekitaran itu bergantung kepada jarak di antara keduanya jika jarak antara kedua personaliti semakin rapat, ia menunjukkan hubungan kesamaan yang lebih.
Menurut Holland (1973, 1985, 1996), dengan menggunakan Vocational Preference Inventory (VPI) atau Self-Directed Search (SDS), dua skor tertinggi yang terdiri  daripada dua jenis personaliti yang bersebelahan mengikut model heksagonal dikatakan lebih konsisten. Skor tertinggi bersendengan tahap sederhana konsisten. Skor tertinggi bertentangan adalah paling tidak konsisten. Holland (1973, 1985, 1996), seterusnya menelaskan bahawa darjah ketekalan atau konsistensi boleh memberi kesan kepada kepuasan kerja, pencapaian dan kestabilan. Ketekalan yang tinggi dikaitkan dengan kepuasan kerja, pencapaian dan kestabilan kerja yang tinggi sementara ketekalan yang rendah dikaitkan dengan kepuasan kerja, pencapaian dan kestabilan kerja yang rendah.
TAHAP KETEKALAN DAN POLA PERSONALITI
Tinggi
RI, RC, IR, IA, AI, AS, SA, SE, ES, EC, CE, & CR
Sederhana
RA, RE, IS, IC, AS, SA, SE, ES, EC, CS & CI
Rendah
RS, IE, AC, SR, EI, & CA
Sumber: Holland, J.L (1973, 1985, 1996),
Contohnya, jenis social dan artistic lebih kurang sama (rapat). Sebaliknya, social dengan Realistic adalah berbeza antara keduanya, seperti mana berbeza dengan Investigative dan Enterprising. Sebagai contohnya, individu social cenderung untuk membantu orang, bekerja secara berpasukan, selalu berinteraksi dengan orang lain; manakala jenis realistic lebih cenderung untuk tidak bekerja dengan orang, tetapi lebih suka bekerja dengan mesin dan perkara yang berkaitan dengan teknikal. (buku putih)
3)      PERBEZAAN  (DIFFERENTIATION)
Menurut Holland (1973, 1985, 1996), sesetengah individu atau persekitaran adalah lebih tulen iaitu mereka menunjukkan keserupaan yang tinggi kepada satu jenis dan kurang kepada jenis yang lain. Konsep ini dipanggil pembezaan.
Holland (1973, 1985, 1996), seterusnya menunjukkan keserupaan yang tinggi kepada satu jenis dan kurang kepada jenis yang lain. Individu yang punyai personaliti sebenar akan menunjukkan persamaan dengan jenis pesonaliti yang lain. Berbeza pula dengan individu yang punyai pelbagai jenis personaliti, personaliti mereka sukar untuk dibezakan. 
Dengan menggunakan alat ukuran VPI, pembezaan adalah tinggi sekiranya indeks yang diperolehi melebihi skor min 7 (skor maksimum 14); sementara dengan menggunakan alat ukuran SDS, pembezaan adalah tinggi sekiranya indeks yang diperolehi skor min 16 (skor maksimum 32). Sekiranya indeks yang diperoleh kurang dari skor min, individu dikatakan mempunyai pembezaan yang rendah.
Individu yang mempunyai pembezaan yang tinggi mempunyai personaliti yang dominan untuk dua atau tiga jenis personaliti yang selalunya digunakan untuk membentuk kod tiga-mata Holland, sementara untuk personaliti yang lain biasanya tidak dominan. Individu yang mempunyai pembezaan rendah pula tidak mempunyai personaliti yang dominan tetapi semuanya hampir sama saja kepentingannya. Keadaan ini amat menyukarkan malahan tidak memungkinkan untuk mendapatkan kod tiga-mata Holland individu. Individu atau persekitaran yang menunjukkan keserupaan yg sama; ke enam-anam jenis dianggap individu yang tidak mempunyai pembezaan.
Kebanyakan individu cenderung mempunyai satu, dua, atau tiga jenis personaliti yang dominan. Sebagai contohnya, sebahagian individu suka melukis, menulis, membantu orang lain, mengetuai sesebuah kumpulan, dan melakukan kerja amal di hospital. Mereka ini tidak menyukai bekerja dengan mesin, bekerja di pejabat, bidang sains, dan perniagaan. Sebahagian individu dikenal pasti identiti mereka mempunyai pembezaan, kerana minat mereka (social dan artistic) secara jelasnya mempunyai pembezaan dengan identiti yang mereka tidak sukai (enterprising, investigative, conventional, realistic).
4)      KALKULUS  (CALCULUS
Menurut Holland (1973, 1978, 1985, 1996), Hubungan di antara personaliti dan persekitaran itu bergantung kepada jarak di antara keduanya jika jarak antara kedua personaliti semakin rapat, ia menunjukkan hubungan kesamaan yang lebih. Pertalian dalam dan antara jenis atau persekitaran boleh dikenal pasti melalui model heksagonal dengan jarak antara jenis personaliti dan persekitaran adalah berkadar songsang dengan perhubungan teoritikal antara mereka.
Sehubungan dengan itu, dapatlah dirumuskan bahawa semakin jauh jarak antara dua jenis, semakin berbeza ciri-ciri psikologikal.

BERDEKATAN
SEDERHANA
JAUH
JENIS
E-C
E-R
E-I
UKURAN
(r-. 71)
(r-.48)
(r-.39)
RUMUSAN
Menyeruoai satu sama lain
Persamaan sederhana
Berbeza satu sama lain

5)      IDENTITI (IDENTITY)
Menurut Holland, konsep identiti ini dapat memberi anggaran tentang kejelasan dan kestabilan identiti personal atau identiti persekitaran. Dengan cara yang sama, identiti persekitaran dapat diperhatikan dalam persekitaran atau organisasi yang mempunyai matlamat yang jelas, tugas serta ganjaran yang jelas dan bersepadu yang stabil dalam jangka masa yang panjang. Ini bermaksud dalam sesebuah persekitaran itu, kita sudah sedia maklum tentang ciri-ciri persekitaran tersebut dan mengetahui apa peranan dan tugas yang sepatutnya seseorang individu itu lakukan dalam persekitaran tersebut. Hal ini kerana, setiap persekitaran mempunyai identiti ataupun dalam erti yang berbeza mempunyai matlamat, tugas, dan ganjaran yang berbza-beza untuk setiap jenis persekitaran. Oleh itu, seseorang individu itu perlu mengetahui persekitarannya. (Sidek Mohd Noah. 2002.)

7.0 KELEMAHAN TEORI
Teori ini tidak memberi penekanan terhadap pengalaman pembelajaran dan juga tidak terhadap peingkatan umur individu seperti yang terdapat dalam Teori Super. Tidak ada mengenai perkembangan hidup dari segi hubungan keperluan biologi dengan keluarga. Tidak ada penekanan mengenai aspek pengalaman dan perbezaan antara individu dalam memilih kerjaya. Pemilihan kerjaya berdasarkan layanan baik orang sekeliling individu terutamanya ibu bapa.

8.0 KEKUATAN TEORI
Satu teori yang boleh dianggap stabil dan mengalami berbagai proses pembaharuan sejak mula ia diperkenalkan. Teori ini banyak menerima kritikan daripada pakar-pakar dalam bidang perkembangan kerjaya dan kaunseling kerjaya. Teori ini memperluaskan konstruknya dan menjadi lebih komprehensif dan jelas dengan penambahan lima andaian skunder. Menjadi platform kepada kemunculan inventori Self Directed Search (SDS) dan Vocational Preference Inventori (VPI). Jenis intuitif yang menarik dan mudah dikongsi dengan pelajar yang mana pendedahan kepada pelajar tentang dunia kerja yang tidak besar.

9.0 APLIKASI TEORI KERJAYA HOLLAND DI SEKOLAH.
Peranan kaunselor dalam perkembangan dan dalam gerakan bimbingan kerjaya sekolah pada dasarnya dianggap sebagai proses perkembangan dan pendidikan, maka fungsi kaunselor adalah sebagai pemudah perkembangan dan pencegahan. Oleh yang demikian, kaunselor boleh menyumbang kepada usaha sekolah secara menyeluruh dalam perkembangan murid. Sumbangan kaunselor ini dapat dilihat daripada aktiviti  seperti kaunseling kerjaya yang merupakan salah satu perkhidmatan yang diberikan oleh kaunselor dalam program bimbingan dan pendidikan kerjaya yang dibina untuk menyediakan pelajar membuat pilihan kerjaya.
Aktiviti ini sangat penting kerana ramai remaja yang tidak mampu membuat keputusan yang kritikal tanpa bantuan kaunselor profesional. Kaunseling keibubapaan, kaunseling kelompok, dan aktiviti-aktiviti bimbingan yang lain adalah sumbangan kaunselor terhadap perkembangan kerjaya individu dan program kerjaya sekolah.
Satu lagi aspek kerjaya yang penting adalah menyediakan peluang untuk murid menilai ciri peribadi mereka dan kaitannya dengan perancangan kerjaya dan membuat keputusan. Kaunselor dapat memberi sumbangan yang wajar untuk perkembangan pelajar memahami diri mereka dengan cara menggunakan kaedah pentaksiran standard atau yang tidak standard.
Dengan menggunakan Sistem Perancangan Kerjaya Tadbir (SPKTS) adalah sebuah sistem merancang yang berasaskan model persekitaran-manusia Holland (1975) yang dibangunkan oleh Amla: Mizan & Salleh (1998). Sistem ini dapat membantu seseorang membuat keputusan kerjaya. Sistem ini dapat membantu kaunselor menyediakan aktiviti merancang kerjaya baik secara individu mahupun secara kelompok. Langkah perancangan yang disusun menjadikan seseorang itu berupaya membuat keputusan kerjaya yang lebih realistik, berpandukan maklumat dan cara yang sitematik.
Sistem yang komprehensif ini mengandungi perkara-perkara seperti: satu set inventori minat kerjaya SDS versi Malaysia (Amla 1984): kaedah mentafsir skor dan tafsiran skor dalam kod tiga hurufyang dapat menjelaskan pola personaliti (dari enam jenis personaliti) yang berkaitan dengan minat kerjaya seperti yang dijelaskan oleh Holland(1973): maklumat pekerjaan yang telah disusun mengikut kesesuaiannya dengan pola personaliti. Maklumat pekerjaan terdiri daripada keterangan sejumlah 800 judul pekerjaan yang dipilih daripada senarai Occupation Finder (Holland 1975). Keterangan pekerjaan yang disediakan mengikut keterangan pekerjaan di Malaysia masa kini.


10.0  RUMUSAN
Kesimpulanya, teori Holland ini dapat diaplikasikan dengan baik jika kita memahami konsepnya yang bersesuaian dengan bidang kerjaya yang diceburi. Selain itu juga, kita dapat mengenalpasti bidang kerjaya kita yang bersesuaian dengan persekitaran  kerjaya yang diceburi. Teori Holland ini juga dapat mengenalpasti bidang kerjaya yang sesuai lebih daripada satu bidang kerjaya malah berpuluh-puluh bidang kerjaya mengikut kod tiga mata hollland. Oleh itu, dari aspek pemilihan kerjaya pula lebih mudah untuk diaplikasikan sebagai factor yang memudahkan lagi pemilihan kerjaya individu.


RUJUKAN
Holland, J.L. (1996). Making Vocational Choices : A Theory Of Vocational Personality And                    Work Environment. Odessa, Florida :Psycological Assessment Resources
Mohamed,S.M dan Roslee, A. (2010). Bimbingan dan kerjaya: konsep dan amalan kontemporari  . Universiti teknologi Malaysia.
Noraini, I. (2015). Pendidikan Kerjaya : Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sidek Mohd Noah (2002). Perkembangan Kerjaya : Teori & Praktis. Serdang : Universiti Putra                 Malaysia.
Sharf, S. R. (2010). Applying career development theory to counseling (5th Ed.). Belmont, CA.                      Brooks / Cole.

Zunker, V.G. (2006).Career counselling: A holistic approach. (7th Ed.). Belmont,CA. : Brooks /                   Cole